FUNGSI BAHASA
MELAYU DALAM MEMBENTUK GAGASAN 1 MALAYSIA
Persekutuan
Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 1957 dan semenjak detik pengisytiharan
tersebut Bahasa Melayu telah dinobatkan sebagai bahasa kebangsaan, bahasa
rasmi, bahasa pengantar dan bahasa ilmu. Perlembagaan Persekutuan telah
memperuntukkan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa
rasmi sebagaimana yang telah diwartakan dalam Akta Bahasa Kebangsaan 1967 dan
memperkukuhkan kedudukan sebagai bahasa pengantar dalam institusi pendidikan
menerusi Akta Pendidikan 1961 dan Akta Pendidikan 1996.
Kamus Dewan
(1970:59) mendefinisikan bahasa rasmi sebagai bahasa pentadbiran, bahasa
perhubungan awam, bahasa pengantar serta bahasa ilmiah di sekolah-sekolah dan
institusi pengajian tinggi. Ainon Mohammad (1984) pula merumuskan bahawa bahasa
rasmi membawa pengertian sebagai peranan bahasa Melayu sebagai saranan
pembinaan negara di dalam semua urusan, terutama urusan pentadbiran negara.
Oleh itu, dapatlah diringkaskan bahawa bahasa rasmi ialah bahasa yang digunakan
di dalam sistem pendidikan negara, urusan perniagaan dan pentabiran dan di
dalaam upacara-upacara rasmi. Bahasa rasmi pula mungkin membawa lebih daripada
satu fungsi bagi sesebuah negara.
Fungsi bahasa
Melayu sebagai bahasa perpaduan merupakan senjata paling ampuh dalam
merealisaikan konsep 1 Malaysia. Perpaduan atau solidariti dapat ditafsirkan
sebagai satu proses yang menyatupadukan rakyat dan seluruh masyarakat dan
negara supaya setiap anggota masyarakat dapat membentuk satu identiti dan nilai
bersama serta perasaan cinta dan bangga akan tanah air. Kamus Dewan (1994)
mendefinisikan perpaduan sebagai penggabungan, pelaburan penyesuaian, kecocokan
dan perihal berpadu iaitu bergabung menjadi satu, sepakat dan sebagainya. Oleh
itu, dapatlah diertikan bahawa bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan ialah
bahasa yang menjadi lambang penyatuan suara yang digunakan sebagai alat
perhubungan di dalam lingkungan satu kelompok manusia yang berfungsi sebagai
alat menyatupadukan rakyat yang berbilang kaum dalam sesebuah negara.
Menerusi
cetusan idea Perdana Menteri Malaysia, Gagasan 1 Malaysia ingin membentuk satu
identiti masyarakat Malaysia melalui budaya dan aspek terpenting untuk
membentuk satu budaya ialah melalui satu bahasa dan satu suara. Sejarah
membuktikan bahawa perpaduan amatlah sukar dicapai oleh masyarakat pelbagai ras
dan etnik tetapi bukan mustahil. Semasa zaman kolonialisasi, British
mengamalkan dasar ‘pecah dan perintah’ yang mewujudkan jurang ekonomi manakala
dasar ‘laissez-faire’ dalam pendidikan menyebabkan perkongsian pengetahuan dan
keseragaman perperiksaan tidak dapat dicapai.
Sistem persekolahan yang wujud di negara ini, pada dasarnya berpandukan
sistem Barat yang diperkenalkan oleh pentadbiran British mulai abad ke 19, iaitu
pada peringkat permulaannya, di Negeri-negeri Selat. Pada awal tahun itu, pihak
British memberi keutamaan kepada pelajaran Melayu dan Inggeris. Pendidikan Cina
dan Tamil dibiarkan berkembang secara sendirian. Pelajaran Cina telah
mewujudkan kesedaran kebangsaaan pemuda –pemuda Cina. Sekolah Cina bukan hanya
menggunakan bahasa Cina sebagai bahasa pengantar, gurunya datang dari negara
China, buku teks diimport dari negara China dan berkiblatkan China. Sekolah
Tamil pula menggunakan bahasa Tamil sebagai bahasa pengantar yang tunggal.
Kebanyakan sekolah Tamil terletak di kawasan ladang dan sebahagian besarnya
dibiayai oleh syarikat-syarikat yang memiliki ladang-ladang berkenaan. Walau
bagaimanapun, keadaan sekolah Tamil tidak pernah setanding dengan sekolah-sekolah
Cina, Melayu atau Inggeris.
Kerajaan sebelum merdeka menganggap sekolah Inggeris sebagai sistem
persekolahan yang unggul. Kelulusan sekolah Inggeris terdedah kepada pemikiran
Barat. Perbezaan di antara sekolah Inggeris dengan sekolah-sekolah lain bukan
dari segi bahasa pengantar sahaja, sukatan pelajaran juga tidak sama dan
sekolah Inggeris juga memberi kesan kepada perpecahan yang berlaku di dalam
masyarakat. Jelas sekali, sistem persekolahan sebelum merdeka memainkan peranan
penting mengekalkan keperibadian satu-satu golongan etnik dan, di samping itu,
mewujudkan dua golongan terdidik – berpelajaran Inggeris dan berpelajaran
vernacular – yang tidak mempunyai pandangan dunia (world – view) yang sama.
Persoalan besar yang dihadapi para pemimpin dan pendidik selepas Perang
dunia Kedua ialah mencari formula untuk melahirkan satu masyarakat Malaysia
yang bersatupadu, yakni masyarakat majmuk yang mempunyai keazaman, kesanggupan
dan kesediaan untuk hidup bersama dengan rukun dan damai serta mempunyai kesedaran,
keperibadian dan nilai-nilai sebagai rakyat Malaysia. Satu cara yang penting
untuk mewujudkan perpaduan di dalam sesebuah negara ialah menerusi pendidikan.
Dalam konteks Malaysia, hakikat bahawa pendidikan merupakan faktor unggul dalam
membina kerakyatan yang tunggal telah lama disedari.
Cara paling penting untuk menyatupadukan masyarakat berbilang kaum di
Malaysia ialah melalui penggunaan bahasa kebangsaan. Penggunaan satu bahasa
perhubungan dan persefahaman di antara satu kaum dengan yang lain dapat
diwujudkan tanpa menimbulkan rasa curiga. Langkah ini mempercepatkan lagi
perpaduan dan rasa hormoni antara kaum di negara ini. Oleh itu, Penyata Razak
telah diperakui dan diluluskan menjadi Ordinan Pelajaran pada tahun 1957.
Ordinan ini mewajibkan semua jenis sekolah menggunakan sukatan pelajaran yang
sama manakala Bahasa Melayu pula digunakan sebagai bahasa pengantar di semua
sekolah, khusus untuk membantu perpaduan kebangsaan dan menjadi wahana berkesan
untuk komunikasi pelbagai kumpulan etnik dan masyarakat pelbagai dialek atau
bahasa.
Gagasan 1 Malaysia sudah pastinya dapat diwujudkan melalui pembentukan jati
diri bangsa Malaysia yang menggunakan bahasa komunikasi yang mudah difahami.
Penyatuan rakyat melalui bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan boleh
diwujudkan melalui penerapan nilai-nilai murni seperti yang tercatat dalam
matlamat pendidikan kebangsaan, iaitu pembentukan masyarakat yang bersatu padu.
Fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu mampu menyemarakkan lagi semangat
1 Malaysia dengan membawa dimensi baharu dalam arena kebahasaa. Menurut
Havranek, di dalam Garvin (1984), sesuatu bahasa yang mencapai taraf sebagai
bahasa ilmu perlu mempunyai dua ciri penting iaitu keintelektualan dan
kesempurnaan bahasa. Melalui keintelektualan, bahasa tersebut mestilah
mempunyai keupayaan menyampaikan hujah dan buah fikiran yang berkesan dan tepat
yakni ampu menyampaikan kesinambungan dan kerumitan fikiran tanpa melalui
pelbagai rintangan. Kesempurnaan bahasa pula bermaksud satu bahasa yang akan
berfungsi sebagai bahasa ilmiah harus mempunyai sistem dan peraturan bahasa
yang lengkap yakni mempunyai sifat-sifat kestabilan, kelenturan, kepelbagaian,
keberkesanan dan keindahan.
Selaras dengan konsep 1 Malaysia, bahasa Melayu bukan sahaja mampu
menyampaikan pelbagai ilmu malahan ia juga memikul tanggungjawab yang besar
sebagai bahasa persatuan dan kesatuan kaum di Malaysia. Perkara ini telah
dibuktikan sejak sekian lama kerana melalui perpaduan yang kukuh dan
persefahaman kaum yang kuat dalam kalangan masyarakat, suasana politik dan
sosial juga turut stabil sekali gus merancakkan lagi sektor ekonomi negara.
Secara tuntasnya, inilah berkat hasil bahasa Melayu yang dijadikan bahasa
pengantar utama dalam sistem pendidikan negara ini sejak awal tahun 70-an.
Bahasa Melayu memudahkan penguasaan ilmu dalam kalangan rakyat Malaysia.
Selaras dengan konsep rakyat didahulukan, perpaduan akan dikecapi. Nikmat
daripada kesejahteraan rakyat maka dapatlah kita merealisasikan pencapaian
melalui ilmu pengetahuan. Bahasa Melayu telah memperkasa anak watan dalam
pelbagai bidang khususnya bidang pendidikan, sains dan teknologi, ekonomi
sekali gus dapat melahirkan golongan kelas menengah yang menjadi sinergi dan
sumber manusia yang terus menjadi pemangkin pembangunan bangsa dan negara.
Bahasa Melayu yang dahulunya hanya berperanan sebagai ‘lingua-franca’ dan
juga ‘bahasa kedua’ akhirnya menjadi bahasa pengantar, bahasa ilmu, bahasa
komunikasi, bahasa perundangan, bahasa pentadbiran dan bahsa yang dapat
mengungkapkan pelbagai genre dan domain ilmu. Oleh hal yang demikian,bagi
memastikan semangat dan kecintaan terhadap kepentingan dan kemampuan bahasa
Melayu memainkan peranannya sebagai bahasa ilmu dan wahana merealisasikan
Gagasan 1 Malaysia, usaha promosi harus dipergiat dari semasa ke semasa.
Berdasarkan statusnya sebagai bahasa kebangsaan, fungsi bahasa Melayu
sebagai bahasa komunikasi tidak perlu dipersoalkan lagi apabila rata-rata
anak-anak berinteraksi dengan rakan sebaya di sekolah, majikan dan pekerja
berkomunikasi di pejabat bahkan urusan jual beli di pasar raya juga kita sering
mendengar bahasa Melayu diujarkan.
Dalam konteks 1 Malaysia, interaksi amat penting bagi menentukan supaya
hubungan antara masyarakat pelbagai ras dan etnik dapat terus berlangsung atau
dipertahankan. Oleh itu, perlu pengetahuan luas berkenaan bahasa, loghat,
jargon, slanga, gurauan, cerita rakyat, budaya setempat dan sebagainya.
Pokoknya, kita mesti tahu pelbagai perkara tentang bahasa. Fungsi peribadi pula
ialah fungsi bahasa memberi kesempatan kepada manusia untuk menyatakan
perasaan, emosi, peribadi serta reaksinya.
Kesimpulannya, Gagasan 1 Malaysia yang dicetuskan oleh Perdana Menteri
adalah selangkah di hadapan kita. Perbezaan bahasa bukan lagi penghalang ke
arah usaha murni kerajaan ini kerana kita adalah satu bangsa, satu bahasa dalam
Gagasan 1 Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan